Wednesday 24 February 2010

ramai...

setelah melihat demonstrasi jalanan di Sudan..

“Janganlah sambutan orang ramai itu melalaikan kamu dari menyusun barisan dalaman kamu dan dari menyediakan rijal yang mampu menghadapi segala kesukaran dan dapat bertahan lama.”..syed Qutb..

Tuesday 2 February 2010

Berlari....



Di Kuala Lumpur, dan juga di kebanyakan kota-kota yang lain, penghuninya sentiasa berlari,hampir setiap hari. Mereka (dan mungkin kita juga) berlari, tidak mengira tempat dan ketika.

Tidak kiralah semasa bersesakan di dalam bas atau lrt, dan juga di dalam kereta yang bergugusan di atas jalan itu. Dan para pejalan kaki, sekiranya diperhatikan dalam-dalam, pun sedang berlari juga.

Larian ini, nampaknya seperti tidak akan habis. Walaupun setiap langkah yang diambil itu mempunyai destinasinya tersendiri. Nampaknya, dalam konteks ini, destinasi dan matlamat berbeza makna.

Larian ini juga nampaknya membawa mereka, yakni penghuni kota, ke tempat yang sama. Berulang-ulang. Kalau hari ini, katakanlah namanya Idris, melalui Jalan Sultan Ismail lalu memasuki salah satu bangunan di situ, esoknya pun begitu juga. Di bangunan yang sama juga.

Saban hari, (mungkin) kecuali hari minggu.

Larian ini kelihatan tiada penghujungnya, dan berulang-ulang pula.

Lebih malang, mereka – dan kita, sebenarnya berlari mengejar masa. Maka, ini adalah satu perlumbaan yang pasti kalah.

Jujur, saya sangat takut dengan bayangan ini.

Setiap daripada mereka, dan ini saya pasti – kita juga, menggalas tanggungjawab dan keinginan. Dan larian-larian ini adalah sebahagian usaha kita semua dalam menunaikan tanggungjawab dan menggapai keinginan masing-masing.

Larian ini, pada satu sisi, adalah menifestasi kepada ke’hidup’an kita, dan – sayangnya, seringkali membawa kepada ke’mati’an kita.

Akhir-akhir ini, saya juga semacam sudah terbawa-bawa. Sudah mula memasuki trek larian. Hati saya separuh-separuh.

Dan saya sudah mula merasa lelah, dan lebih teruk, bosan.

Penyair terkenal Indonesia, Chairil Anwar , dalam sajaknya ‘Derai-derai Cemara’ mengungkapkan bait-bait ini;

‘Hidup hanya menunda kekalahan.’

Memang, pessimisme sentiasa ada ruang tersendiri dalam jiwa saya.


aediasri